Friday, February 19, 2010

Gali Ilmu Tanpa Henti...

Sebagai perkongsian dari sebuah blog..
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah wa syukru lillah…hari ini khatam kitab Syifa' al-Ghalal Fi Syarh Kitab al-`Ilal yang digabungkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi syarah Jami’ Tirmizi. Kitab Tuhfatul Ahwazi tamat 2 minggu yang lalu. Tempoh bacaan kitab tersebut (semuanya 9 jilid) adalah selama 4 tahun, bermula pada 12 Februari 2006 hinggalah 4 Februari 2010. Esok hari, Jumaat ‘sayyidul ayyam’ yang penuh barakah akan disambung bacaan mutiara kalam Rasulullah melalui kitab Sunan Abi Daud. Dibaca pula di waktu pagi yang mana baginda Nabi mendoakan keberkatan kepada umatnya yang mengerjakan amal ibadah di waktu pagi. Ya barakah!

"Ku lihat dia, ku ingat Allah dan RasulNya"

Melihat kepada semangat Syaikhuna al-Muhaddis Dr. Yusri al-Hasani hafizahullah membaca dan mensyarahkan hadis memberi semangat dan kecintaan al-Faqir terhadap mutiara kalam Rasulullah . Beliau begitu istiqamah tanpa jemu. Manakan tidak, hari yang bekalan elektrik terputus pun beliau tetap membacakannya bertemankan cahaya lilin. Begitulah rutin beliau setiap hari kecuali beberapa hari yang beliau terpaksa bermusafir jauh dan bermalam di sana. Memang benar kalam al-Imam Ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah di dalam kitab hikamnya :

لا تَصْحَبْ مَنْ لا يُنْهِضُكَ حالُهُ وَلا يَدُلُّكَ عَلَى اللهِ مَقالُهُ.
Ertinya : Janganlah kamu bersahabat/bersama dengan mereka yang tidak menaikkan semangatmu dengan hal keadaan mereka, dan tidak menunjukkan (mengigatkanmu) kepada Allah dengan setiap perkataannya.


Saya pernah ditanya seorang sahabat dari negara Kyrgystan mengenai perihal Syaikhuna Dr. Yusri. Beliau hairan dan terkejut bagaimana seorang doktor pakar bedah boleh meriwayatkan hadis. Saya mengatakan apa salahnya seorang doktor meriwayatkan hadis jika beliau benar-benar menuntut ilmu yang sahih dari para ulama’ yang muktabar. Lihat disini. Apa jua bidang yang diceburi bukanlah penghalang untuk seseorang itu menuntut ilmu agama dan menyebarkannya. Bahkan ianya dipuji kerana bukan mudah untuk seseorang itu menggabungkan ilmu dunia dan akhirat dalam satu-satu masa. Tetapi perlulah mengambil ilmu tersebut dari para ‘alim-ulama’ yang diyakini keilmuan mereka.

Jika diselak pada lembaran sejarah kegemilangan Islam pada satu ketika dahulu, ramai para ilmuan yang bukan sahaja pakar dalam bidang agama, bahkan dalam masa yang sama menguasai dalam pelbagai bidang. Siapa yang tidak kenal dengan al-Imam Ibnu Sina, al-Imam al-Khawarizmi, al-Imam Ibnu Nafis dan lain-lain. Mereka adalah perintis kepada ilmu sains yang mana menjadi rujukan sehingga kini. Dalam masa yang sama, mereka juga alim dalam bidang agama, namun disebabkan mereka adalah perintis dalam bidang sains dan perubatan menyebabkan mereka lebih disanjung sebagai tokoh sains. Begitu juga dengan tokoh-tokoh Islam yang lain, jika hendak disebut satu persatu nama serta keilmuan mereka, pasti memakan masa yang panjang. Mereka yang mencari dan mengkaji pasti akan menjumpai bagaimana kehebatan ulama terdahulu yang menguasai pelbagai bidang.

Berbalik kepada perihal Syaikhuna Dr. Yusri, kejayaan beliau pada masa kini disebabkan doa dan keberkatan dari para guru yang beliau dampingi selain dari usaha beliau sendiri. Beliau pernah menceritakan kisah beliau pada permulaan menuntut ilmu agama. Kisah ini beliau ceritakan ketika kami sama-sama beriktikaf di Masjid al-Asyraf pada 10 terakhir Ramadhan yang lalu. Semuanya bermula ketika beliau sedang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah. Sampai satu ketika beliau seakan-akan sudah hilang minat untuk belajar perubatan dan ingin mendalami bidang agama. Beliau terus bertanyakan kepada guru beliau al-Hafiz Abi al-Fadhl Abdullah as-Siddiq al-Ghumari rahimahullah bagaimana hendak dilakukan, sama ada terus belajar medic atau belajar agama sahaja. Guru beliau bertanyakan kembali apakah yang benar-benar beliau ingin belajar. Lantas beliau menjawab ilmu agama. Namun gurunya menyuruh beliau untuk terus belajar medic dan berkata Allah sudah menetapkan kamu untuk menjadi doktor, maka hendaklah kamu terima dengan sabar dan redha sambil berkata :

إقنع بما أقامك الله , تكن أڠــنى النــاس

Ertinya : Terima (dengan redho) apa yang Allah telah tetapkan kepada kamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya.

Lihatlah apa hasilnya kini, beliau bukan sahaja boleh membedah dan merawat orang sakit, tetapi juga boleh ‘membedah dan merawat’ orang sihat. Setiap kalam beliau menusuk ke dalam jiwa mereka yang berakal. Firman Allah s.w.t ;


Maksudnya : Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Beliau juga sering berpesan supaya sentiasa istiqamah dalam amal ibadah walau sedikit. Teringat sewaktu beliau mengijazahkan hizib bahar dan hizib al-Imam Nawawi di Masjid al-Azhar 2 tahun lalu. Beliau berpesan supaya berterusan mengamalkannya kerana banyak keberkatan dan faedah pada hizib tersebut. Beliau menceritakan bahawa beliau dan keluarganya pernah terlibat dengan kemalangan di Iskandariah beberapa tahun yang lalu. Jika dilihat kepada keadaan kereta yang remuk, pasti ramai mengatakan tidak ada harapan untuk hidup, namun dengan kuasa Allah, beliau selamat dari musibah tersebut. Begitulah kelebihan kepada mereka yang sentiasa melakukan amal ibadah dengan istiqamah kerana Allah bersama dengan hamba-hambaNya yang melakukan sesuatu amalan dengan tekun dan berterusan walaupun sedikit. Semoga keberkatan yang ada pada beliau melimpah dan tempias kepada kita.
----------------------------------------------------------------------------------------
credit to:here!